Sunday, October 31, 2010

Kejahatan Kau Madu Pada Aku.


Kata-kata bukan hanya dibibir saja.
Jari juga bertutur.
Bukan bunyi saja yang bersuara.
Huruf juga berkata-kata.

Kata-kata manis tak semestinya beri kemanisan rasa.
Tapi kadang-kala rasa sakit itu ada madunya.
Ada senyumnya.
Ada kenangannya.
Ada sayangnya.

Curahlah pahit sepahit-pahitnya.
Pukullah sekuat hati.
Agar rasa sakitnya hilang sakit.

Kau itu sebenanya sakit yang tak terperi.
Hingga tak hilang walau sesaat pun.
Tapi sakit itu yang menghidupkan mati hidup ini.

Kata kau, kita simpan.
Kasar tapi manis.

Terima kasih atas kata-kata itu.
Itu suatu kesan.
Itu madu.

Thursday, October 28, 2010

Berikan Sedikit Rasa Manis Pada Aku.

Ini cerita kelmarin.
Tapi cerita ini dah bawa mimpi aku melayang-layang.

Dari telus dinding kaca lutsinar, roh aku terkaku melihat suatu susuk.
Ya, ia bukan satu, tetapi sesuatu.
Lama perasaan ini tak serang hendap aku.

Pesonanya lebih dari imprimatura fantasi Da Vinci.
(Mungkin impresionisme aku berlebih-lebih tahap ini).
Salahi mata ini.
Mata aku infiniti!

Mata dia memandang mata infiniti aku.
Mungkin aku terlupa, mata dia lebih infiniti dari segala mata.
Segera kanta mata berbingkai yang sedia betali bergayut dileher bertenggek dibantang hidungnya.
Dia tahu aku tahu dia.

Impuls aku kata, pergi.
Sapa dia.
Tapi aku impresionis.
Patut susun bait puisi.
Biar indah.

Dia mula mundar-mandir.
Tapi dia tetap di situ.
Bagai tegak merenung jendela dunia sebelah sana.
Aku pula jadi lutsinar.
Memerhatikan sinarnya.
Mempersonakan.

Kemudian dia pergi saja.
Berlalu dibawa gadis punjabi.
Rambut putihnya aku rasakan puitis bila gerbang dihayun angin.
Beg plastik yang diusung bagaikan melambai, minta diri.
Baju pagoda lusuh, serasa aku tak layak baginya.
Tapi itu realiti dia.
Manusia bagai tak tak kenal nama.

Saat dia melangkah,
Sedikit-sedikit figura tua itu hilang.
Mata aku tidak lagi infiniti.

A.Samad Said.
Sumpah, kali kedua kita bertemu,
Kita akan baca The Dead crow bersama.

Tuesday, October 19, 2010

Kini Hanya Timah dan Sudin.


Sudin,bagaimana agaknya wajah samsudin?
Timah bersuara.
Tapi Timah tiada mata.

Sudin ada mata.
Tapi tiada suara.
Sudin rangkul tangan Timah.

Sudin bawa tangan Timah mukanya.
Biar Timah nilai estetika wajahnya.
Timah senyum.

"Itu wajah Sudin, bukan Samsudin".
Wajah Sudin Timah tolak.

Lidah kelu Sudin bisu.
Oh, ya, Sudin sememangnya bisu.
Dia ajak hatinya berbisik.

"Rupanya Timah tahu rupa Sudin, bukan Samsudin".

Tuesday, October 5, 2010

Mata dan telinga Lotus tua.


Terima kasih tasik dengan Lotus tua,
Sama juga bagi angin sejuk yang membawa tubuh Lotus melambai sayu.
Lotus tua, terima kasih.
Kita sama,perlu teman.
Teman yang sama rasa keseorangan dalam ramai.

Lotus tua mendengar aku.
Tak seperti teman muda.
Mahu didengari, tapi tak mahu mendengar.
Beritahu angin, tak usah khabarkan pada teman aku yang muda,
Aku menangis sambil berpaling,
Kerana telinga mereka tak mahu melihat aku.
Mata mereka tak mahu mendengar aku.

Lotus tua, terima kasih.
Pinjamkan aku sepasang telinga yang boleh melihat.
Kasihani aku dengan sepasang mata yang boleh mendengar.
Terkadang aku tak dapat melihat mata dan telinga halimunanmu.
Tapi aku tahu kau mendengar dan melihat aku.

Lotus tua.
Temanku.
Teman mendengar.
Esok aku datang lagi.