Thursday, December 6, 2012

Sangkaan Aku.

Aku sedang cuba mengharungi hidup yang lebih humble.
Pretty humble, you know.

Aku cuba tinggalkan hidup lalu yang boleh dikatakan..
Glorious-fun-daring life.
Perasankan?

Dan aku menyesal.
Kerana aku sangkakan aku bahagia.




Thursday, November 8, 2012

Salah Aku.

Salah aku.

Kerana dulu aku jadikan manusia,
tempat mengadu.
Lebih daripada aku mengadu pada Yang Esa.

Salah aku.

Kerana dulu aku percaya kata-kata manusia,
Lebih kata-kata Yang Maha Kuasa.

Salah aku.

Kerana mengharapkan manusia memahami aku,
Lebih daripada Yang Maha Pengampun memahami aku.

Salah aku.

Kerana mengharap manusia akan jadi teman baik aku,
Lebih daripada Yang Maha Kuasa menjadi peneman aku.
Waktu senang.
Waktu susah.

Salah aku.

Kerana akhirnya semua manusia meninggalkan aku.
Namun, Yang Maha Mengasihani tidak sekali pun mengabaikan aku.

Semuanya salah aku.
Allah.



Wednesday, October 31, 2012

Alasan.


Kadang-kadang, banyak perkara yang aku tak faham, dan takkan faham
Selama mana aku diberi penjelasan.
Penjelasan tak semestinya menjelaskan pandangan.

Yang sebenarnya aku bukannya mahu penjelasan,
tapi lebih kepada kebenaran mengikut acuan aku sendiri.
Aku sebetulnya mahu penjelasan itu memuaskan hati aku.
Tapi itu semua jauh dari kenyataan.

Jadi, pada aku, penjelasan adalah satu nota kaki yang takkan pernah terangkan rasional sesebuah tindakan.
Sama seperti nota kaki yang hanya menjelaskan, tapi tidak memberikan apa-apa makna.

Jadi, aku ambil keputusan untuk kekal bersama persepsi aku sendiri.



Itulah Sebabnya.


Jadi,itulah sebabnya orang tak menyayangi aku?
Kerana aku tak pernah menyayangi orang.

Tuesday, October 30, 2012

Dah Terbongkar.


Ada bebarapa hari ini aku mendengar perkabaran kawan lama.
Membawa kisah lama dengan nafas baru.


Aku masih ingat janji kau.

Kau akan kisahkan semuanya, tapi kau memang tak pernah pegang janji.
Kau pergi saja.
Selamba, seperti biasa.

Kau curang pada aku dengan orang di sisi aku.

Siapa kisah? Sukahati kau lah, kan sayang?
Kau lelaki, sikit pun tak rugi.

Tapi, kecurangan kau pada Tuhan, berat, Sayang.
Aku harap kau dah mohon ampun awal lagi.

Oh.
Maaf kawan, aku memang tak patut tahu itu.
Tapi mungkin Tuhan tunjukkan aku,
perkara yang aku sudah tahu.


Watthoyyibatu lithoyyibn.

Malangnya sayang,
Kau bukan begitu

Dan aku bersyukur, bertemu kau,
dan terus belajar menyimpan rahsia.
Juga memberi aku kemahiran mencari serpihan hati yang semakin hari, makin kecil kepingannya.

Macam puzzle.

Tahu kan?


Saturday, October 27, 2012

PanggilanNya.


Aku sudah bersedia,
menyahut panggilanNya.

Hati aku berdebar-debar.
Bukan debar biasa.
Hati aku bergetar, kuat.
Bukan getaran yang biasa.

Ini benar-benar.

Tak sabar aku mahu mendekatiNya.
Sedalam-dalam sudut tanpa dasarnya.
Supaya aku akan lebih merasa.

Tapi, aku bimbang,
kalau-kalau perasaan ini palsu.

Aku bimbang kalau-kalau ini hanya satu perlumbaan bagi memenangi hati manusia lain.

Itu yang terlalu aku bimbangkan.
Semoga tidak begitu.



Monday, October 15, 2012

Chronic Syndrom.


Hari-hari aku kini dibebani dengan penyakit kronik ini.
Dan yang paling sadis, tak ada siapa yang tahu.
Dan tiada siapa harus tahu.
Pathetic kan?

Okey!
Kita jadikan hal ini semakin menarik.
Apa itu sakit kronik?

Sakit kronik adalah sakit yang berlarutan sehingga melebihi 6 bulan.

Setiap kali orang bertanya, rasanya apa?

" Rasa apa?"
Aku cuba bertanya semula.

" Sakit kronik?"
Dia tanya kembali.

" Oh, rasanya macam electric shock, 100 Voltan."

Takde la sakit sangat.

Tapi mesej utama yang aku nak sampaikan adalah,
Janganlah biarkan penyakit engkau tu berlarutan sampai 6 bulan.
Nanti kau akan dijangkiti penyakit baru.

PENYAKIT KRONIK.

Tak pasal-pasal kan?


Thursday, October 4, 2012

Mula Disini.

Sebenarnya banyak yang aku nak tuliskan,
dalam bentuk yang mudah difahami.

Banyak sangat.
Macam nak melimpah diladang gandum.

Hm, baiklah.

Aku akan mulakan sekarang.

Baiklah.. (tarik nafas panjang)

Okey.
Jadi, macam mana nak mula?



Wednesday, October 3, 2012

Jerman, Terimalah Aku.

Aku masih jaga.
(Sekarang larut malam).

Kotak fikiran aku tak dapat buang apa yang fikiran aku tak boleh lupa.
Ini tentang persepsi.

Persepsi membunuh orang yang tak bersalah.
Semua sebab persepsi.

Semalam, hari ini dan esok,
mungkin aku masih lagi terperangkap dalam persepsi jahat
yang sebenarnya aku gelarkannya sebagai tuduhan.

Oh, bull shit.

Aku dah terperangkap dalam persepsi hinggakan aku terfikir nak pindah ke Jerman!
Kesiannya hidup aku.
Ini semua sebab persepsi.

Persepsi punya pasal.




Thursday, September 13, 2012

Kita Hanya Kenangan


Menangis dan ketawa adalah sebahagian dari kita.
Sama-sama ada.
Sama-sama rasa.
Seperti dulu.

Bersama dengan kau, dua-dua pun ada.
Diantara kita;
Ketawa dan air mata mungkin lebih manis jika tetap bersama-sama.
Seperti selalu.

Terima kasih.

Walaupun waktu dicipta bukan untuk dikembalikan,
Sekurang-kurangnya aku ada sesuatu untuk dikenang.
Aku punya tangisan dan ketawa untuk aku kenangkan.

Dan,
Kasih sayang yang aku tinggalkan untuk kau,
Aku akan terus tinggalkan untuk kau.
Sama seperti dulu dan selalu.



Tuesday, September 11, 2012

Oh, Sudah Larut Malam!

Kebelakangan ini aku asyik taip status di Facebook.
dan aku padam semula.

Aku tulis.
Aku padam.
Tulis, padam.
Padam semula, kemudian tulis.

Kali terakhir seminit yang lepas.

Sejak bila aku mula fikirkan perasaan orang lain.
Aku juga naik hairan.

Sejak bila aku sangat menjaga perasaan orang lain.
Sejak bila aku mula sangat memikirkan betapa fragile hati orang lain.

Oh, mungkin sejak aku mula rasa mereka tidak penting untuk diambil pusing.
Haha.




Thursday, August 2, 2012

Wasiat.


Aku patut minta maaf siap-siap.
Kalau-kalau tak sempat.
Sebab aku.

Aku, tak patut beritahu,
Kenapa.

Hahaha.




Wednesday, August 1, 2012

Hukum.

Memang tak siapa pun akan tahu,
apa yang ada dalam hati kita.

Allah yang Maha Besar saja yang tahu dan mengerti.


Monday, July 30, 2012

MC.

Semalam aku rancang nak MC.
Rasa macam nak demam.

Nah.
Tiba-tiba hari ini aku berada di pejabat.
(Tak jadi MC)

Kemudian, seperti semalam,
Aku merancang untuk MC esok.
Sekali lagi.

Perasan tak?

Kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

MasyaAllah.


Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan 24.



Kemenangan itu terkadang benar,
tapi selalunya menyimpang rasa.
Rasa besar,
Angkuh dan sombong.

Ramadhan ajar kita selalu merendah diri.
Pada Tuhan, pada manusia.
Maka, itu sesungguhnya benar pada aku.

Ketenangan yang sebenar-benarnya yang aku cari.
Aku sudah temui.
Pada awal pagi, satu ramadhan.

Ramadhan ini rasanya satu garisan berganda buat aku,
Satu pengajaran bagi aku agar melupakan dan memadamkan,
Segala-galanya.

Kemenangan jelas, bukanlah suatu ketenangan.
Ya, dan aku kalah, serta tenang.

Semoga Allah bebaskan aku daripada sifat sombong.
(Kerana aku pernah sombong dan angkuh)

Amin.




Tuesday, July 17, 2012

Biarkan Tajuk Ini Kosong.


Hancur berkecai hati aku.
Kau tahu?

(Aku senyum sendiri, sinis )
Memang kau tak tahu.

Sebab dari dulu aku kata pada kau,
hati aku dicipta untuk dipijak-pijak.

Dan, sekarang.
Kau betul-betul pijak hati aku.

Tak sangka.
(Kerana aku sangka kita punyai kaki yang sama untuk berlari mengelilingi dunia.)



Senyum.


Timah melangkah perlahan-lahan ke arah Sudin.
Wajahnya serius, sama saja seperti selalu.

" Kau ni Timah, keruh saja riak muka, cuba senyum sikit,"

Timah pandang wajah Sudin, mencuka. (Seperti biasa)
" Kenapa aku perlu senyum?"

" Supaya aku juga dapat senyum bersama." (Sudin sedang senyum)

Sudin beredar pantas, bila sedar saranannya pada Timah tidak disahut.
Timah terus tidak senyum. (Seperti biasa)

Dalam perjalanan pulang, Timah berbisik sendirian.
" Mungkin betul kata Sudin. Jika aku senyum pada Samsudin, dia juga akan tersenyum bersama aku."

Timah terserempak dengan Samsudin, lalu didekatinya.
Timah senyum lebar.

" Mengapa kau senyum? Biasanya kau tidak senyum." (Samsudin tidak senyum)
Timah terus senyum pada Samsudin.

Samsudin berpaling.
" Aku harap kau tidak senyum lagi. Senyuman kau mengelirukan aku."

Samsudin terus berjalan meninggalkan Timah.











Saturday, July 14, 2012

Anniversary


Aku akui, memang bersusah payah untuk aku ingatkan.

Aku pun buat kesimpulan sendiri.
Mungkin persahabatan kita terlampau lama, dan tak terungkitkan.
Sehingga kita lupa nak menandakan 'anniversary' kita.

Dan aku terus mengukir ucapan,
" Selamat ulangtahun persahabatan, Bff,"

Dan aku juga tak dapat mengelak dari terfikir,

Sejak bila kita mula tidak berkawan?


Tuesday, July 3, 2012

Ini Saja.


Dan atas segala yang aku lakukan,
Aku hanya hajatkan kebahagiaan dan ketenangan.

Itu saja.




Wednesday, June 13, 2012

Dua Hari Yang Getir.


Esok dan lusa , antara hari yang sukar buat aku.
Semoga ada yang sudi melupakan buat seketika kejengkelan terhadap aku.

Tolong,
Sedekahkan sedikit doa buat aku.

Agar aku dapat jalani dua hari yang getir ini,
sekurang-kurangnya dengan rongga yang terbuka.
Terima kasih.



Friday, June 8, 2012

Norma Batasan.

Selebih- lebihnya kita akan sentiasa merasa kekurangan, dan
sekurang-kurangnya kita akan melebihi batas.

Batas fikiran.
Batas waktu.
Batas kesabaran.
Batas itu,
Batas ini.

Dan aku tak mampu lagi menjadi manusia penjual,
Kerana semua batas-batas aku sudah terceroboh.

Harap-harap,
Tiada lagi batas,
kerana aku berkira-kira membina kubu perisai.

Tak mungkin lagi diceroboh rasa percaya.


Thursday, May 17, 2012

Tabung.


Begini ceritanya.

Aku ada sebuah tabung.
Tabung Eropah, nama aku beri.

Sememangnya itu tabung harapan untuk ke Eropah.
Tabung harapan, konon.

Tapi sejak dua menjak ini,
aku berfikir untuk menamakan tabung itu semula.
Tabung Palestin.

Kerana Tabung Eropah itu dah tak ada makna.



Wednesday, May 16, 2012

Sesekali Bila Kita Terguris.


Apabila teman yang kita sayangi,
Melukakan hati kita.

Kita memang terluka,
Kerana kita tak percaya.

Mungkin mereka tak sengaja,
Tenang tiada apa.
Senang lupa.

Mungkin kita tidak lagi releven,
Kerana tidak lagi memahami.

Salah kita.
Tak cuba mengenali diri teman yang sentiasa berlari,
Sedangkan kita masih lagi berjalan.

Dalam menghirup nafas,
kita nampak lelah.
Ilusi nampak kita sedang mencuri nafas daripada teman
Tapi kita cuba bertahan, sambil menjeling teman yang nampak gagah.

Jelas.
Buat teman yang kita rindui.

Sincerely yours,
“ I’ll forgive, never ever forget”.




Saturday, May 12, 2012

Terus-terang.

Satu perkara yang paling membebankan.
Untuk aku berterus terang.

Sebenarnya..

Hm, tak mengapalah.
Esok saja.



Sunday, April 1, 2012

Sebuah Cawan kosong.


Semalam, aku cari satu cawan.
Untuk minum, hilangkan dahaga.

Ada satu cawan bergayut memanggil-manggil aku.
Aku datang dekat.

Kemudian aku senyum.

"Ini cawan kawan aku kasi, masa form three".
Aku beritahu kakak.

Aku cepat-cepat capai cawan yang aku rindu tu.
Aku tuang air.
Penuh-penuh.

Aku minum.
Sampai habis.

Aku tuang lagi, penuh-penuh.
Aku minum lagi.
Aku tuang lagi.

Tapi entah mengapa, aku masih kehausan.

Monday, March 12, 2012

Tawar Dan Masin. Sama.


Pagi ini, Isnin (12 Mac 2012).
Isnin yang longgar.

Aku masak bekalan.
Aneh kerana aku tak tergesa seperti pagi-pagi yang lepas.

Dan.
Hasilnya, masakan tanpa garam.
Pertama kali dalam hidup aku lupakan garam.
Aku sengih didepan pintu rumah.

Aku menung sebentar.

Mungkin dalam hidup juga,
Kita terlupa perisa rasa dunia.

Tapi hidup kita tetap saja boleh diteruskan
dengan terus menelan hidup tanpa rasa.
Dengan senyuman.
Senyum.

Selamat menjamu selera.
Selera dunia.

Sunday, March 4, 2012

Kebelakangan Ini.


(Aku enggan mulai stanza ini dengan tajuk besar)

Sudah sekian lama aku murung.
Tercari-cari juga aku akan munasababnya.
Rupa-rupanya aku sudah bosan,
Membuka hijab kasih aku.

Sahabat dan kasih,
Entah mana hilang semuanya.

Sama luntur dengan warna merah hati,
Warna hijab hati aku yang semakin pudar.

Thursday, March 1, 2012

Semalam, Kelmarin.


Semalam mengajar aku.
Kegigihan tak beri kita apa-apa makna.

Semalam ajar aku,
Kita perlu sentiasa ambil kesempatan,
atau kita sendiri tak berkesempatan.

Semalam juga mengajar aku,
Bagaimana jadi apa yang orang mahu kita jadi.
Senang saja, kita jadi apa yang mereka mahu.

Baiklah, semalam.
Kita mula semula.
Kita mula dari semalam, esok kita lupakan.

Saturday, February 11, 2012

Harga Sebuah Bangsa.


Kita dituduh bangsa racist kerana mereka faham kata kita.
Tapi kita tidak faham kata mereka.

Kita dikata racist kerana kita bangsa lembut hati.
Bangsa kita racist kerana kita bangsa penjaga hati.
Kita bangsa racist kerana sifat pemalu dan pendiam kita.

Bila bangsa kita sebut tentang harga diri, bangsa kita racist.
Bangsa pemalas katanya.

Bangsa kita yang racist ini tak kenal apa itu racist sehingga bangsa kita dipijak-pijak.

Ya, begitulah bangsa kita.

Kenapa Perlu Ingat Password?



Baiklah.
Kali ini aku straight to the point.

Aku cuba ingin menulis.
Laman ini minta username.
Aku pun tulis kata guna nama aku.

Kemudian, dia minta password.
Pulak.

Aku pun taip satu nama.
Nama yang tak pernah padam dalam minda aku.
Sejak dari dulu.

Pelik.
Blog, emel dan semua yang memerlukan password pun boleh terbuka hanya dengan menaip nama yang kita tak pernah padam dalam hati.

Magik tak?

Tuesday, February 7, 2012

Entah Mengapa Engkau Yang Aku Cinta.



Entah.
Jangan bangga sangat.

Esok aku akan cuba cari pengganti.
Lusa juga masih ada hari esok untuk cari pengganti kau.

Sama seperti esok dua tahun lepas.
Tahun depan juga.

Baiklah.
Aku akan cuba cari pengganti kau, dalam masa seratus tahun lagi.
Mungkin aku akan jumpa.
Tengoklah.

Tuesday, January 17, 2012

Masa Akan Berbohong Bahawa Masa Lampau itu Satu Kekecewaan.


Aku cuma mahu dilupakan.
Kerana aku mahu jalani hidup lagi.

Boleh beri aku sedikit hidup?

Bukan.
Bukan hidup kau yang sempurna itu yang aku minta.

Aku cuma mahu mimpi kita yang tak sempurna itu semula.
Itu saja.

Wednesday, January 4, 2012

Jalan Menyingkap Rasa.


Hidup kita ini adalah sebuah rumah dengan empat tingkap.

Tingkap pertama apabila dibuka, kita akan dapat lihat apa yang orang lain tidak dapat lihat.

Tingkap kedua apabila dibuka, orang lain dapat melihat, apa yang kita tidak dapat lihat.

Apabila tingkap ketiga dibuka, kita dan juga orang lain dapat melihat bersama-sama.

Tiba masanya tingkap keempat dibuka, kita dan orang lain yang bersama dengan kita, tidak dapat melihat apa pun. Sama-sama kekaburan.

Mungkin lebih baik jika hidup ini hanya wujud pintu tanpa tingkap.
Satu pintu saja.
Pintu Hati.